KUALA LUMPUR, 17 Januari- Kerajaan memberi jaminan sepenuhnya kepada Tabung Persaraan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, cadangan dasar pindaan Akta Tabung Angkatan Tentera telah dibentangkan pada mesyuarat kabinet minggu lalu dan diluluskan secara prinsip.
Jelasnya dasar itu akan dibawa ke parlimen untuk dipinda pada tahun ini.
"Saya akan beri perhatian penuh kepada cadangan pindaan ini sehingga ia lulus dan dilaksanakan. Ini jaminan saya".
"Apabila pindaan ini dilaksanakan, ia bukan sahaja akan memelihara tabung persaraan anggota, tetapi juga akan membolehkan LTAT terus memacu agenda transformasi mereka," katanya ketika berucap dalam Majlis Amanat Tahun Baharu Menteri Kanan Pertahanan di Wisma Perwira ATM, di sini.
Beliau turut menyeru kepimpinan LTAT untuk meneruskan usaha supaya pelaburan yang dilaksanakan LTAT memenuhi keperluan dan amalan terbaik semasa serta dapat memberi pulangan yang stabil, kompetitif dan mampan; sama seperti institusi persaraan lain.