fb fb fb fb fb

Peruntukan tambahan RM3.49 juta selaras elaun guru SRA JAIM

AYER KEROH, 14 Jun- Kerajaan Negeri Melaka memperuntukkan tambahan berjumlah RM3.49 juta untuk penyelarasan elaun perkhidmatan guru Sekolah Rendah Agama Jabatan Agama Islam Melaka (SRA JAIM) berkuatkuasa 1 Januari lalu.

Ketua Menterinya Datuk Seri Ab Rauf Yusof berkata, peruntukaan itu akan ditanggung kerajaan negeri bersama Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

Daripada jumlah itu, 505 guru SRA JAIM lantikan selepas tahun 2016 akan menerima emolumen secara pukal sebanyak RM1,500 sebulan iaitu kenaikan emolumen sebanyak RM500 sebulan.

Manakala 917 guru SRA JAIM lantikan sebelum tahun 2016 akan menerima emolumen secara pukal mengikut emolumen akhir yang diterima pada tahun 2023 sekurang-kurangnya RM1,500 ringgit sebulan.

"Jadi saya harap keputusan ini akan memberikan rangsangan kepada semua guru-guru SRA JAIM untuk terus memberikan perkhidmatan cemerlang dan dapat mendidik anak-anak Melaka pelajar-pelajar Islam menjadi insan yang berguna kepada bangsa, agama dan negara," katanya kepada pemberita pada sidang media Post Exco Kerajaan Negeri di Seri Negeri, Ayer Keroh.
 
Garis panduan, syarat dan terma perkhidmatan akan ditetapkan oleh JAIM dan Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM), Jabatan Ketua Menteri Melaka.

(Foto hiasan)

Media Baharu