fb fb fb fb fb

KPM siasat, kaji pelajar tidak ambil SPM tahun lalu

(Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek/BERNAMA)

SHAH ALAM, 14 Jun- Kementerian Pendidikan sedang melakukan siasatan dan kajian terhadap isu ketidakhadiran pelajar ke peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lepas.

Menterinya Fadhlina Sidek berkata, ini bagi memastikan perkara sama tidak berulang pada masa akan datang.

"Untuk kita kongsikan selepas ini dan ambil tindakan intervensi, bagaimana kita hendak memastikan bahawa kehadiran ini pada masa-masa akan datang dapat diatasi.

“Ini masalah lama sebenarnya, cuma kali ini kita jadikan ia sebagai satu langkah untuk pastikan calon-calon ini hadir dan mengambil peperiksaan itu", katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvesyen Islam dan Melayu: Karamah Insaniah Teras Pembentukan Jati Diri Umat, di sini.


(Foto hiasan)

Sementara itu, Fadhlina turut memberitahu, mengenai pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak mahu menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi pula, pihaknya bersama beberapa kementerian lain masih lagi mengkaji perkara tersebut.

Menurutnya, ia memerlukan sinergi daripada kementerian lain dalam langkah penyelesaiannya termasuk bagi memastikan pelajar ini mempunyai hala tuju.

Sementara itu, ketika menjawab pertanyaan media mengenai guru bersara awal beliau berkata, ia disebabkan beberapa faktor antaranya merupakan pilihan guru itu sendiri.

"Ada faktor menarik, ada faktor menolak. Faktor menarik (pull factor) dan faktor menolak (push factor). Apa factor menarik? Adalah faktor-faktor yang sebagai contoh, mereka sudah pun ingin bersara kerana pilihan sendiri, sebagai rehat dan juga kekuatan ekonomi sudah cukup.

"Ini dipanggil faktor gembira, mereka bersara dengan gembira. Ada pun faktor lain, penguasaan teknologi, kemudian faktor yang lain, kita sedang perhalusi, kerana kita tidak mahu jurang itu terlalu banyak. Sebab itu bersara sebab sakit, kita tidak boleh tangguh, jadi kita dalam konteks persaraan itu ada wajib, ada sebagai pilihan. Jadi yang wajib itu, kita teruskan ikut proses, yang ikut pilihan lihat dari segi alasan", katanya.

Media Baharu