fb fb fb fb fb

Keselamatan siber, semua pihak perlu sepakat

(Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil semasa perbincangan panel Minggu Teknologi London (LTW) 2023/BERNAMA)

LONDON, 14 Jun- Kuala Lumpur menggesa dunia dan pemain industri digital berganding bahu serta bekerjasama bagi menjamin keselamatan siber.

Berucap pada Minggu Teknologi London, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menegaskan semua pihak perlu mengambil peranan bagi memastikan pertumbuhan sektor digital tidak terencat dengan isu terbabit.

Menurut Fahmi, tiada pihak boleh bekerja sendirian dalam pengendalian keselamatan siber. Ini kerana hal berkaitan teknologi merentasi sempadan.

Justeru, semua pihak perlu sepakat demi kesejahteraan bersama.

"Keselamatan siber merupakan tanggungjawab bersama. Justeru,  kerjasama pintar perlu diwujudkan. Semua pihak perlu sepakat bagi mengendali isu ini demi kebaikan jangka panjang.

"Keselamatan siber merentasi isu sempadan. Maka, kerjasama antarabangsa merupakan sesuatu yang wajar. Kesepakatan pelbagai hala, serantau dan global adalah perkara yang diperlukan", katanya.


(Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil/BERNAMA)

Beliau berucap dalam rangka lawatan sempena misi pelaburan Minggu Teknologi London.

Tahun lalu, lebih enam trilion insiden berkaitan keselamatan siber dilapor berlaku di seluruh dunia.

Menurut laporan Indeks Keselamatan Siber Global 2020 Malaysia berada pada kedudukan kelima.

Pengiktirafan membuktikan kesungguhan negara dalam mengendali isu berkaitan dan pada masa yang sama mampu menawarkan persekitaran selamat buat para pemain industri.

Dalam forum berasingan bersama Pesuruhjaya Perdagangan United Kingdom dan wakil kerajaan Pakistan, Fahmi menggesa semua negara membantu syarikat pemula meningkatkan operasi.

"Kerajaan dan kementerian terlibat perlu mencari keseimbangan antara penetapan aktiviti dan sokongan kepada ekosistem serta kegiatan perdagangan. Perlu untuk memahami keperluan dan aspirasi syarikat pemula bagi membolehkan mereka berkembang", katanya.

Peranan proaktif perlu dimainkan pihak berkuasa memandangkan teknologi digital bersifat dinamik dan pesat membangun.

Laporan oleh Yunus Mohd Nor

Media Baharu