ALOR SETAR, 14 Jun- Polis akan membuka kertas siasatan sekiranya terdapat unsur jenayah berhubung kejadian dua tabung gas oksigen meletup mengakibatkan tiga beranak terbakar dan melecur di Taman Industri Ringan Sri Mergong, Kedah semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, setakat ini polis telah mengambil keterangan daripada pemilik premis dan beberapa saksi di tempat kejadian bagi melengkapkan siasatan.
"Polis masih menunggu hasil siasatan pihak bomba sama ada terdapat unsur khianat. Sekiranya laporan tersebut ada kaitan dengan unsur khianat, maka pihak polis akan memulakan siasatan," katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Semalam tiga beranak dilaporkan melecur selepas kereta yang mereka naiki meletup dan terbakar, namun isteri mangsa, Noor Azlina Abu Bakar, 34, hanya mengalami kecederaan ringan di tangan dan sedang dirawat di Zon Kuning Hospital Sultanah Bahiyah.
Setakat pagi tadi keadaan mangsa, Tuah Omar, 54 masih kritikal akibat melecur 80% manakala anaknya, Muhammad Firdaus Syawal Abdullah, lima tahun melecur 95% dirawat di Zon Merah di hospital itu.
Ketiga-tiga mangsa beralamat dari Kampung Pinang Pedu, didakwa pergi ke lokasi kejadian untuk mengisi dua tabung gas oksigen bantuan pernafasan untuk kegunaan sendiri.
(ACP Ahmad Shukri Mat Akhir)