fb fb fb fb fb

Peruntukan RM5.8 juta perkasa program Kesatuan Sekerja

V. Sivakumar

PUTRAJAYA, 14 November- Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) bagi tahun depan diteruskan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM5.8 juta. 

Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, pemberian peruntukan itu membuktikan komitmen kerajaan dalam menyokong pergerakan Kesatuan Sekerja di negara ini.

"Dengan peruntukan RM5.8 juta ini, saya berharap lebih banyak program dan aktiviti akan dilaksanakan oleh Kesatuan Sekerja di seluruh negara pada tahun hadapan," katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Kesatuan Sekerja Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 di sini.

Sementara itu, sasaran seramai 1 juta ahli Kesatuan Sekerja telah berjaya dicapai dengan merekodkan seramai 1,008,371 ahli, setakat 30 Oktober lalu.

"Kerajaan telah menyasarkan untuk keanggotaan (Kesatuan Sekerja) seramai 1 juta ahli pada tahun 2025.

"Kita telah berjaya mencapai sasaran tersebut dan sehingga 30 Oktober ini, jumlah keanggotaan Kesatuan Sekerja adalah seramai 1,008,371.

"Saya berharap jumlah ini akan terus meningkat pada tahun-tahun akan datang," katanya lagi.

Tambahnya, Kesatuan Sekerja perlu bertindak sebagai mata dan telinga kerajaan untuk melaporkan sebarang ketidakpatuhan undang-undang termasuklah aktiviti buruh paksa di tempat kerja masing-masing. 

Rang Undang-Undang Kesatuan Sekerja (Pindaan) 2023 Akta 262 telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 10 Oktober lalu dan bakal dibentang di Dewan Negara bulan ini.

SITI AISHAH BINTI MD ISA