fb fb fb fb fb

MITI laksana moratorium dua tahun untuk kemaskini hala tuju industri besi, keluli

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 14 November - Pelaksanaan moratorium selama dua tahun mulai 15 Ogos 2023 membolehkan penelitian semula dijalankan untuk menangani cabaran dihadapi industri besi dan keluli tempatan.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Liew Chin Tong berkata ia juga bertujuan untuk mengemaskini hala tuju industri selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030).

"Penggantungan sementara itu meliputi semua pertanyaan, penilaian permohonan semasa, permohonan baharu, pemindahan lesen, pembesaran, penyelarasan dan pelbagai lesen pengilang (ML) serta pengeluaran surat pengesahan untuk pengecualian daripada lesen pengilang (ICA10) di bawah Akta Penyelarasan 1975 (Akta 156)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2024 peringkat jawatankuasa kementeriannya di Dewan Rakyat, di sini.

Tambah Liew, sekiranya terdapat permohonan ML yang menyokong agenda NIMP 2030, permohonan boleh dipertimbangkan pengecualian daripada moratorium.

Berhubung pendekatan kementerian untuk syarikat tempatan menceburi pasaran eksport dengan lebih tersusun, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) katanya memberi perhatian kepada pembangunan syarikat pengeksport, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana untuk menceburi pasaran eksport.

Dalam perkembangan lain, Liew berkata industri aeroangkasa negara diunjur memperoleh pendapatan lebih RM18 bilion pada tahun ini.

Malaysia katanya merupakan hab aeroangkasa kedua terbesar di Asia Tenggara.

"Berdasarkan kepada prestasi semasa industri dan disokong oleh kejayaan memperolehi kontrak-kontrak baharu bernilai RM5.7 bilion serta pelaksanaan projek-projek MRO bernilai RM600 juta adalah diunjur pendapatan industri aeroangkasa 2023 akan melepasi nilai RM18 bilion," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN