fb fb fb fb fb

Peruntukan RM4 bilion bagi pemasangan gentian optik di 4,000 sekolah

KOTA BHARU, 10 April - Kementerian Komunikasi dan Multimedia memperuntukkan RM4 bilion untuk pemasangan hab rangkaian gentian optik titik kehadiran atau Point of Presence (PoP), melibatkan hampir 4,000 sekolah di seluruh negara.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata pemasangan itu bakal mewujudkan capaian rangkaian internet lebih stabil dan berkelajuan lebih tinggi.

(Foto fail)

“Kita menyasarkan pemasangan gentian optik 500 hingga 600 sekolah di setiap zon yang telah dikenal pasti,” katanya kepada pemberita selepas mengagihkan Bubur Lambuk Kampung Baru kepada 1,000 penerima di Bazar Ramadan Peringat di sini hari ini.

Beliau berkata pihak kementerian juga mengalu-alukan kerjasama dengan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bagi meningkatkan mutu perkhidmatan rangkaian gentian optik.

Menurutnya memang menjadi teras Kementerian Komunikasi dan Multimedia untuk memberi kestabilan rangkaian internet kepada semua sekolah di luar bandar terutama di kawasan yang belum menerima perkhidmatan berkualiti.

“Lazimnya di sekitar sekolah-sekolah itu juga tentunya ada tabika-tabika termasuk Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas). Saya mengalu-alukan kerjasama ini, KPLB boleh membekalkan kepada kami lokasi tabika Kemas untuk kami minta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) membuat penilaian,” kata Annuar.

Media Baharu