fb fb fb fb fb

Peruntukan RM2 juta bagi inisiatif e-baucar Program Jualan Malaysia- PM

BERA, 27 Ogos- Sebanyak RM2 juta diperuntukkan kerajaan bagi inisiatif e-baucar Program Jualan Malaysia untuk menggalakkan penggunaan bayaran tanpa tunai bermula 30 Ogos hingga 31 Dis 2022.

Menerusi Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI), penggunaan e-Dompet diharap dapat dimanfaatkan secara menyeluruh oleh pengguna dan peniaga termasuk di kawasan luar bandar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata inisiatif itu turut bertujuan mengurangkan jurang perkembangan ekonomi digital khususnya dalam sektor peruncitan yang melibatkan ramai peniaga kecil dan penjaja.

"Bagi memastikan agenda digitalisasi khususnya penggunaan e-Dompet dalam kalangan para pengguna peniaga akan diperluaskan di kawasan luar bandar termasuk kita di Bera, bagi menggalakkan pembayaran wang tunai ini, kerajaan menawarkan inisiatif e- voucher Program Jualan Malaysia, dengan peruntukkan RM2 juta mulai 30 Ogos 2022 sehingga 31 Disember 2022, dan e voucher boleh dimuat turut melalui aplikasi MySales Tracker yang disediakan oleh KPDNHEP, " katanya.

Sempena pelancaran ReDi hari ini katanya, insentif e-dompet sebanyak RM20 akan disediakan kepada 1,000 orang selain e-dompet sebanyak RM100 bagi 1,500 kumpulan sasar terpilih dari setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah parlimen Bera.

Ismail berkata demikian ketika berucap merasmikan pelancaran Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) peringkat kebangsaan dan Program Jualan Murah Keluarga Malaysia di Dataran Kerayong Bera, pagi tadi.

Turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Dalam pada itu, Program Jualan Keluarga Malaysia telah dijenamakan semula kepada Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) dan ia akan diperluaskan ke 600 kawasan DUN seluruh negara dan 13 kawasan Parlimen di Wilayah Persekutuan.

Program itu bermula pada minggu ketiga bulan Ogos 2022 sehingga bulan Disember 2022 dengan menawarkan pengurangan harga barangan keperluan harian yang lebih murah sehingga 20 peratus berbanding harga pasaran semasa.


(Datuk Seri Ismail pada Program Jualan Murah Keluarga Malaysia di Dataran Kerayong Bera)

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera turut mengumumkan Pembukaan Pejabat KPDNHEP cawangan Bera yang dijangka memulakan operasinya pada Januari 2023 bagi memudahkan penduduk setempat berurusan dengan KPDNHEP dengan lebih cepat dan selesa.

"Sempena majlis pelancaran ini saya ingin mengumumkan kepada orang Bera, mulai Januari ini, sebuah pejabat pintar ataupun 'smart office KPDNHEP' yang pertama di Malaysia, lengkap dengan kemudahan digitalisasi terkini akan beroperasi di parlimen Bera, bagi kemudahan pengguna dan peniaga," katanya.

Media Baharu