JOHOR BAHRU, 8 Julai -Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menitahkan Kementerian Kesihatan (KKM) agar mengambil tindakan segera bagi memastikan Hospital Pasir Gudang yang dijangka mula beroperasi tidak lama lagi dapat berfungsi sepenuhnya.
Baginda turut menekankan kepentingan untuk mempercepat kelulusan dan pengisian jawatan kosong yang menjadi punca utama kesesakan di beberapa hospital utama negeri itu.
"Saya juga menyeru agar Kerajaan Persekutuan menyegerakan proses kelulusan dan pengisian jawatan yang tidak diisi dan menyebabkan kesesakan luar biasa di hospital-hospital di negeri ini," menurut kenyataan Baginda yang dimuat naik di laman Facebook HRH Crown Prince of Johor.
Antara hospital yang berdepan isu kekurangan petugas kesihatan di Johor ialah Hospital Sultanah Aminah (HSA), Hospital Sultan Ismail (HSI), Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim.
"Kesejahteraan bangsa Johor adalah keutamaan saya dan keutamaan ini tidak akan saya abaikan.
Perkhidmatan kesihatan bukan kemewahan, tetapi hak asas yang sepatutnya dinikmati setiap rakyat tanpa perlu menunggu lama dan tanpa perlu rasa terabai," menurut kenyataan itu lagi.
Selari hasrat tersebut, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, turut memohon KKM mempercepat penempatan petugas dan melengkapkan fasiliti sedia ada demi kelancaran operasi.
Kerajaan negeri komited bekerjasama rapat dengan KKM agar rakyat dapat terus menerima perkhidmatan kesihatan terbaik dan berkualiti.