fb fb fb fb fb

Lelaki dibaham buaya ketika memancing

Peralatan memancing dan barangan mangsa ditemukan di tepi sungai

LIMBANG, 8 Julai -Seorang lelaki dilaporkan hilang, dipercayai dibaham buaya ketika memancing di Kampung Pandam, di sini.

Mangsa, Karim Osman, 58, masih belum ditemukan setakat ini.

Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menerusi kenyataan memaklumkan, panggilan kecemasan diterima pada 3.13 petang.

"Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang menerima panggilan kecemasan daripada Ibu Pejabat Polis Limbang.

Menurut saksi, hanya barangan serta peralatan memancing digunakan mangsa ditemui di lokasi," menurut kenyataan itu.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan sejauh satu kilometer ke hilir dari lokasi mangsa diserang buaya.

“Pasukan operasi melaporkan melihat seekor buaya timbul seketika dengan objek menyerupai jasad manusia berada di dalam mulut reptilia berkenaan.

Bagaimanapun atas faktor keselamatan dan keadaan cuaca yang semakin gelap, operasi terpaksa ditangguhkan pada 6.17 petang,” menurut kenyataan itu lagi.

Operasi akan disambung semula pagi esok.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN