KUALA LUMPUR, 8 Julai - Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Itali, Perancis dan Brazil baru-baru ini disifatkan sebagai langkah strategik, memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara kuasa pertengahan (middle power) yang dihormati di peringkat antarabangsa.
Penganalisis Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa Universiti Malaya (UM), Collins Chong Yew Keat berkata, lawatan tersebut turut membuka peluang baharu dalam pelaburan berkualiti, pemindahan teknologi, pembangunan modal insan serta kerjasama keselamatan dan pertahanan.
“Lawatan ini menyeluruh kerana melibatkan pelbagai sektor utama seperti teknologi hijau, semikonduktor, mineral nadir bumi dan aset pertahanan,” jelasnya kepada Berita RTM.
Kerjasama dengan Itali dilihat penting dalam pengukuhan aset pertahanan strategik, selain potensi besar dalam tenaga boleh baharu dan kejuruteraan peralatan berat.
Perancis pula dilihat sebagai rakan strategik dalam pembangunan teknologi penerbangan, termasuk kerjasama dengan syarikat antarabangsa seperti Airbus.
Sementara itu, lawatan ke Brazil membawa mesej jelas bahawa Malaysia komited memperluas jaringan diplomasi dan kerjasama ekonomi ke rantau Amerika Latin, termasuk meneroka potensi kerjasama dalam blok ekonomi seperti BRICS.
“Langkah ini turut memperkukuh peranan Malaysia sebagai tuan rumah ASEAN tahun ini, dalam usaha menyatukan aspirasi rantau dengan kuasa global lain,” katanya.
Menurut Collins, manfaat lawatan ini mungkin tidak dirasai serta-merta, namun menjadi pemangkin penting untuk pertumbuhan jangka panjang negara.
“Yang penting sekarang ialah meneruskan momentum. Sinergi antara kementerian, agensi dan sektor swasta perlu digerakkan agar setiap peluang pelaburan benar-benar diterjemah kepada pulangan nyata untuk rakyat,” ujarnya.
Tambah beliau, lawatan ini juga mencerminkan komitmen pentadbiran semasa dalam menjayakan wawasan negara berpendapatan tinggi dan membangunkan modal insan.
“Malaysia perlu terus maju sebagai hab ekonomi dan teknologi serantau dengan pendekatan menyeluruh yang memperkukuh geopolitik negara dan memberi manfaat langsung kepada rakyat dari segi peluang pekerjaan dan pendapatan,” katanya.