fb fb fb fb fb

'Maafkan saya atas kekhilafan kata-kata'

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi./FB ZAHID HAMIDI

KUALA LUMPUR, 8 Julai - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memohon maaf di atas kekhilafan kata-katanya yang mengaitkan perumpamaan tentang malaikat dalam konteks tekanan yang dihadapi ketika memegang amanah sebagai pemimpin utama parti itu.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Pengerusi Barisan Nasional itu menjelaskan, kenyataan tersebut dibuat dalam suasana penuh emosi sebagai usaha untuk menggambarkan ujian yang dihadapinya sebagai pemimpin.

“Namun saya akui, perbandingan tersebut telah mencetuskan kekeliruan dan boleh disalah tafsir.

“Sebagai seorang Muslim dan pemimpin parti yang menjunjung tinggi nilai dan prinsip Islam serta tradisi keilmuan, saya dengan rendah hati memohon ampun kepada ALLAH SWT dan meminta maaf kepada semua atas kekhilafan dalam keterlanjuran lafaz kata-kata ini,” katanya.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau menerima setiap teguran dengan hati yang terbuka.

“Saya percaya, nilai seorang pemimpin bukan hanya terletak pada ketepatan tutur katanya, tetapi juga pada keikhlasannya untuk menginsafi, memperbaiki diri dan belajar daripada kesilapan.

“Mudah-mudahan ALLAH SWT membimbing setiap langkah dan tutur kita semua agar sentiasa berada dalam adab yang mulia, terpelihara akidah dan berpaut teguh pada kebenaran yang hakiki,” katanya.

KHAIRUL AMRI BIN YASIN