fb fb fb fb fb

16 kru kapal hanyut di perairan Pulau Pemanggil terselamat

MERSING, 27 Ogos- Seramai 16 kru kapal yang hanyut bersama bot penumpang selama dua hari di laut berjaya diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Zon Maritim Mersing, di perairan Pulau Pemanggil, kira-kira pukul 5 petang semalam.

Semua mereka ditemukan di kedudukan lima batu nautika Barat Daya Pulau Pemanggil.

Menurut Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Khairul Nizam Misran, maklumat diterima mendapati, semua kru kapal itu hanyut selepas bot penumpang yang dinaiki ketika dalam perjalanan ke Pulau Batam kehabisan minyak.

Semua mereka diturunkan dari kapal pada 24 Ogos lalu, dan menaiki bot penumpang berkenaan sebelum hanyut.

Kru kapal yang terdiri daripada tujuh warga Indonesia, enam warga Sri Lanka dan tiga warga India itu merupakan kru kapal dagang MT Voras yang berdaftar di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Mereka dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Teluk Gading untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dan siasatan.


(Kru kapal yang hanyut diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Zon Maritim Mersing
di perairan Pulau Pemanggil)

Media Baharu