fb fb fb fb fb

Persiapan sambutan Hari Kebangsaan 2022 hampir 95 peratus

KUALA LUMPUR, 27 Ogos- Persiapan sambutan Hari Kebangsaan 2022 pada 31 Ogos ini berjalan lancar dan kini mencapai 95 peratus tahap kesiapsagaan daripada beberapa gabungan persembahan nyanyian serta perbarisan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia (K-KOM), Tan Sri Annuar Musa berpuas hati dengan penglibatan serta komitmen diberikan peserta sepanjang raptai berlangsung pagi tadi.


(Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa)

“Acara perbarisan dan perarakan ini memerlukan tahap kesempurnaan tertentu sebab kena selaraskan dengan pergerakan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, yang perlu diselaraskan dengan pergerakan terbang lintas pesawat udara.

“Saya ucap terima kasih kepada semua kontinjen menunjukkan kesiapsiagaan yang baik setelah latihan sekian lama dijalankan mereka,” katanya kepada pemberita pada raptai separa penuh berkenaan.


(Raptai separa penuh sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka)

Beliau percaya dengan kehadiran secara fizikal rakyat juga akan menceriakan lagi sambutan kali ini dengan semangat Keluarga Malaysia setelah ia tidak dianjurkan beberapa tahun lalu akibat COVID- 19.

“Saya percaya kehadiran fizikal warga Lembah Klang dan seluruh rakyat Malaysia yang mengikuti siaran langsung seramai ratusan ribu rakyat, akan menjadikan acara tahun ini meriah, bersesuaian dengan negara kita bergerak ke fasa endemik setelah dua tahun kita tidak mengadakannya kerana COVID-19,” katanya. 

Sambutan Hari Kebangsaan 2022 bakal berlangsung Rabu ini seawal 7 pagi di Dataran Merdeka dengan sasaran pengunjung seramai 50,000. 

Pelbagai acara menarik telah diatur bagi menyemarakkan sambutan tahun ini termasuk keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dengan menaiki kereta berkuda Diraja dari Menara DBKL ke Dataran Merdeka.



Media Baharu