(Fahmi berucap pada Majlis Pelancaran Kempen Hour of Code #Mygirlscan bersempena
International Girls In ICT Day 2023/BERNAMA)
KUALA LUMPUR, 7 Jun- RM1 juta diperuntukkan bagi melengkapkan kemudahan akses Internet di 19 buah sekolah di kawasan Lembah Pantai.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata peruntukan disalur berikutan terdapat aduan berkaitan masalah Internet yang dihadapi oleh guru dan pelajar sekolah berkenaan.
"Kita lihat terutama di sekolah-sekolah antara aduan guru besar dan pengetua sampaikan kepada saya ialah masalah Internet yang dihadapi oleh guru-guru.
"Maka dengan sebulan setengah, dua bulan yang lalu saya telah mengadakan pertemuan dengan semua guru besar, pengetua atau wakil 19 buah sekolah di Lembah Pantai.
"Kita lihat penyelesaiannya ialah isu memasang beberapa kelengkapan bagi memudahkan guru-guru terutamanya, dan murid-murid yang mengambil sesetangah kelas seperti makmal komputer dan sebagainya mendapat akses Internet," kata Fahmi selepas melancarkan kempen Hour of Code (HOC) #MyGirlsCan 2023 bersempena International Girls in ICT (GICT) Day 2023 di sini.
Beliau juga akan berbincang dengan beberapa Ahli Parlimen lain untuk memanfaatkan peruntukan sedia ada dalam usaha merapatkan jurang digital.
Mengenai GICT Day, Fahmi berkata kempen itu bertujuan meningkatkan minat golongan wanita khususnya dalam kalangan pelajar dan generasi muda tentang kepentingan bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT).
Ia juga mendorong mereka menceburi bidang Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kerjaya dan kehidupan.
Katanya KKD menyasarkan 5,000 pelajar perempuan dari 500 sekolah rendah dan menengah di seluruh negara menyertai Kempen HOC #MyGirlsCan 2023 yang bermula hari ini hingga 14 Julai.
Kempen HOC yang terbuka kepada semua sekolah di seluruh negara dilaksanakan oleh KKD melalui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar tentang pengekodan dan asas sains komputer.
MDEC juga bakal melaksanakan program Digital Ninja pada September ini bagi mengasah bakat kemahiran teknologi digital pelajar perempuan, memberi pendedahan kepada corak pemikiran kritikal, kreatif dan inovatif serta penyelesaian masalah dan keusahawanan.
(Fahmi selepas melancarkan kempen Hour of Code (HOC) #MyGirlsCan 2023 bersempena
International Girls in ICT (GICT) Day 2023)