CYBERJAYA, 18 November - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengesahkan bahawa peruntukan lebih RM2 bilion yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi Sabah, merangkumi beberapa inisiatif utama yang sedang dan bakal dilaksanakan di negeri itu.
Ia bertujuan meningkatkan infrastruktur digital, termasuk ketersambungan internet dan pembangunan bandar pintar.
Menyambut baik perkara itu, MCMC memaklumkan salah satu inisiatif utama adalah pelaksanaan Bandar Raya Pintar Kota Kinabalu, melibatkan projek bernilai lebih RM300 juta melalui kerjasama strategik dengan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) yang dimeterai pada Disember 2024.
Inisiatif tersebut meliputi empat komponen utama, iaitu peluasan rangkaian gentian optik, penyediaan Wi-Fi awam, pemasangan 'smart poles' berintegrasi 4G dan 5G serta Sistem Kamera Litar Tertutup (CCTV) pintar yang disambung terus ke pusat operasi bandar pintar.
"Bagi meluaskan lagi liputan di Sabah, pelaksanaan JENDELA 2 akan ditambah dengan 800 lokasi baharu terutama di kawasan pedalaman dan pulau-pulau, dengan anggaran kos keseluruhan RM1.4 bilion," menurut kenyataan itu di sini hari ini.
Menurut MCMC, peruntukan itu merangkumi kos pembangunan serta kos operasi bagi tempoh lima tahun dan apabila siap kelak, inisiatif berkenaan dijangka memberi manfaat kepada 3.7 juta rakyat Sabah dan mencapai liputan 100% peratus di kawasan berpenduduk.
"Sehingga September 2025, sebanyak 131 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) beroperasi di seluruh Sabah dengan jumlah kos operasi kira-kira RM210 juta untuk lima tahun," menurut kenyataan itu lagi.
Menurut MCMC, NADI memastikan penduduk termasuk di kawasan pedalaman mempunyai peluang setara untuk menyertai ekonomi berasaskan pengetahuan melalui penyediaan ruang pembelajaran komuniti yang menawarkan akses internet, latihan kemahiran, perkhidmatan dalam talian dan program literasi digital.
"Kerajaan juga sedang melaksanakan projek Fiber-to-the-Home (FTTH) di Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di kem-kem ATM di Sabah yang menyediakan sambungan gentian optik terus ke rumah anggota tentera," jelas MCMC dalam kenyataannya.
Sembilan kem tentera di Sabah telah menerima manfaat inisiatif berkenaan melibatkan kira-kira 6,900 kediaman dengan kos sebanyak RM14.2 juta.
MCMC kekal komited memastikan setiap usaha diterjemahkan kepada manfaat nyata untuk rakyat Sabah, dari segi peningkatan kualiti rangkaian, pengalaman pengguna keselamatan dalam talian serta pembangunan bandar pintar yang lebih sistematik dan efisien.