fb fb fb fb fb

Tiada ahli politik dikecualikan daripada tindakan undang-undang - PM

Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 18 November - Tiada ahli politik dikecualikan daripada tindakan undang-undang sekiranya didapati terlibat dalam skandal rasuah berkaitan permohonan lesen penerokaan mineral di Sabah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Kerajaan Perpaduan tidak melindungi individu tertentu, termasuk mereka yang berada dalam parti gabungan kerajaan.

"Saya sendiri menonton dan saya berpendapat video itu mempunyai hujah yang kuat untuk disiasat. Pihak yang menjalankan siasatan adalah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan menurut maklumat SPRM, kes itu telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara.

"Setakat ini, ia merupakan kes jenayah yang tidak mempunyai had masa. Ahli Parlimen Pasir Mas perlu bersabar kerana sehingga kini tiga individu telah didakwa, bukan dilepaskan, manakala yang lain masih dalam proses semakan.

"Di Sabah, ada yang mengatakan saya menggunakan alasan tertentu, sedangkan bagi saya alasan itu kukuh. Apa yang saya ingin jelaskan ialah alasan tersebut munasabah, siasatan perlu dilakukan. Jadi, kita harus mengikuti proses yang ditetapkan.

"Tambahan pula, individu-individu yang terlibat kononnya daripada parti yang sama termasuk dua yang sudah didakwa iaitu parti dalam Kerajaan Perpaduan. Maka, tidak timbul dakwaan bahawa kita sedang melindungi sesiapa," katanya ketika menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari di Dewan Rakyat.

Menurut Perdana Menteri rakaman video yang tular sebelum ini menimbulkan persoalan besar dan wajar disiasat SPRM. Ketika ini siasatan masih dilakukan dan beberapa individu yang disebut dalam video berkenaan memberikan keterangan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI