BAKU, 18 November - Malaysia sedang meneliti peluang kerjasama baharu dengan India dan Iran dalam sektor telekomunikasi, khususnya melibatkan aspek keselamatan dalam talian.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, potensi kerjasama itu dibincangkan semasa sesi pertemuan dua hala bersama rakan sejawatannya dari India, Dr Chandra Sekhar Pemmasani dan dari Iran, Sattar Hashemi yang diadakan di luar Persidangan Pembangunan Telekomunikasi Dunia 2025 (WTDC25) di Baku, Azerbaijan.
Sambil menghargai kepakaran kedua-dua negara dalam menguruskan cabaran digital masing-masing, belau berkata, kerjasama tersebut mampu membuka lebih banyak ruang penerokaan teknologi yang boleh dimanfaatkan oleh Malaysia.
“Saya melihat rakan sejawatan saya (dari India dan Iran), dengan pengalaman mereka dalam isu telekomunikasi di negara masing-masing, menawarkan beberapa peluang yang boleh kita terokai untuk kerjasama dengan kedua-dua negara."
“Ini termasuk pengalaman mereka dalam mengatasi isu penipuan, kebimbangan keselamatan dalam talian serta beberapa aplikasi telekomunikasi yang boleh memberi manfaat kepada rakyat," katanya.
Mesyuarat tersebut turut disertai Penasihat Kanan Hal Ehwal Antarabangsa kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Tan Sri Mohd Annuar Zaini; Timbalan Pengarah Urusan MCMC, Datuk Zulkarnain Mohd Yasin serta Setiausaha Bahagian Teknologi Komunikasi, Kementerian Komunikasi, Ahmad Norhad Zahari.
Dalam pada itu beliau turut menjelaskan, hubungan baik Malaysia dengan India dan Iran akan dimanfaatkan untuk memperkukuh pembangunan telekomunikasi negara, seiring usaha mempertingkat keselamatan digital dan infrastruktur yang lebih moden.
Datuk Fahmi berkata, satu memorandum persefahaman (MoU) bersama Iran sedang dirangka dan kini pada peringkat semakan kementerian serta dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat, manakala MoU sedia ada bersama India akan terus dimanfaatkan.
“Ia (MoU) sedang disemak oleh kementerian, dan saya percaya dalam masa terdekat, kami akan bersedia untuk menandatangani MoU dengan Iran."
"Kami sudah mempunyai satu (MoU) dengan India pada masa ini, dan saya percaya ia agak menarik untuk kami memahami keadaan unik yang dihadapi oleh negara seperti Iran."
Dalam pertemuan itu, beliau turut menyampaikan hasrat Malaysia untuk mempertahankan kerusi dalam Majlis Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) pada pemilihan yang akan diadakan pada November 2026.
“Pengalaman Malaysia mengenai Majlis ITU telah memberi kami peluang bukan sahaja untuk menyuarakan pandangan mengenai perkara yang melibatkan standard, spesifikasi, telekomunikasi, 5G dan sebagainya, tetapi juga untuk berkongsi pengalaman kami menguruskan isu seperti akses internet di kawasan luar bandar dan terpencil melalui program seperti Rangkaian Digital Nasional (JENDELA), ”katanya.