KUCHING, 18 November - Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila kereta dipandunya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah bas di Jalan Tabuan Jaya, awal pagi tadi (Selasa).
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.43 pagi.
Selepas menerima panggilan tersebut sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya digerakkan ke lokasi. Pasukan tiba sembilan minit kemudian.
Menurut Komander Operasi, PBK I Said Muhammad Imran Sahul Hamid, setibanya di tempat kejadian pihaknya mendapati seorang mangsa lelaki berada di dalam kereta, manakala bas yang terlibat tidak membawa pemandu atau penumpang.
Pasukan bomba menjalankan operasi penyelamatan menggunakan peralatan khas RTA rescue tool bagi mengeluarkan mangsa sebelum diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut. Mangsa kemudian dibawa ke hospital berdekatan untuk rawatan.
Operasi turut melibatkan enam anggota bomba dengan sebuah jentera CFRT serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).