fb fb fb fb fb

Peruntukan EFT dinaikkan kepada RM200 juta tahun depan - Nik Nazmi

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad

KUALA LUMPUR, 22 November- Kerajaan Persekutuan akan meningkatkan peruntukan pemindahan fiskal ekologi (EFT) daripada RM100 juta tahun ini kepada RM200 juta tahun depan.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata peruntukan itu merupakan inisiatif kerajaan Persekutuan bawah Belanjawan 2024.

Beliau berkata ia sebagai insentif khusus kepada kerajaan negeri yang ingin mewartakan kawasan baharu bagi tujuan perlindungan.

"Jadi, itu satu peningkatan yang sangat ketara. Kita nak bantu kerajaan negeri untuk pelihara biodiversiti mereka," kata Nik Nazmi kepada pemberita selepas menjadi tetamu dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia (SPM) di Angkasapuri Kota Media.

Katanya, insentif itu juga untuk memperkasa kerajaan negeri dalam memulihara dan mewartakan kawasan perlindungan marin.

Selain mengambil kira pewartaan kawasan perlindungan baharu, agihan EFT kepada negeri-negeri itu turut meliputi habitat harimau dan mempergiat penanaman semula pokok di kawasan terosot.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM