KOTA BHARU, 20 Mei-Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berharap peruntukan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM1bilion bagi membantu menyelesaikan masalah bekalan air di negeri Kelantan akan turut memberi tumpuan kepada sekolah-sekolah yang menghadapi masalah air di negeri itu.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, tindakan tersebut adalah wajar bagi memastikan pelajar di sekolah yang terlibat mendapat manfaat bekalan air yang mencukupi.
"Sudah pasti sekolah-sekolah di negeri berkenaan akan mendapat manfaat daripada peruntukan tersebut.
"Maknanya kita wajar beri tumpuan kepada kemudahan asas bagi memastikan anak-anak mendapat bekalan air mencukupi", katanya pada sidang media selepas merasmikan Jerayawara Pendidikan Madani dan Majlis Sambutan Hari Raya Bersama-sama Menteri Pendidikan di sini.
Turut hadir pada majlis berkenaan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM), Datuk Pkharuddin Ghazali, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Pembangunan Profesionalisme) Shafruddin Ali Hussin dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Mohd Zamri Abdul Aziz.
Terdahulu media melaporkan, Kerajaan Persekutuan sudah menyalurkan peruntukan berjumlah RM1bilion bagi membantu menyelesaikan masalah bekalan air yang dialami rakyat Kelantan sejak puluhan tahun lalu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, peruntukan tersebut disalurkan bermula tahun ini sebagaimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
(Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek/FOTO RTM)