MACHANG, 20 Mei - Kerajaan menerusi Felcra Berhad sedang mengenal pasti keluasan tanah yang mencukupi, digunakan untuk aktiviti agromakanan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pendekatan itu diambil bagi membolehkan Felcra turut terlibat membantu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) meningkatkan pengeluaran bahan makanan seterusnya mengurangkan kebergantungan terhadap import bekalan seperti beras daging, ayam dan telur.
Secara tidak langsung memberi peluang kepada peserta Felcra dan generasi seterusnya sebagai tenaga kerja dalam bidang terbabit.
"Ia tidak berhasrat untuk bersaing dengan mana-mana pengeluar sedia ada, ia sekadar untuk mengurangkan kos sara hidup dan untuk menentukan bahawa soal keselamatan makanan atau keterjaminan makanan ini tidak bermusim iaitu samada di musim perayaan atau di luar musim perayaan," kata Zahid, di sini.
Mengulas lanjut, Zahid berkata Felcra juga mempunyai entiti perniagaan lain yang akan terus dipantau bagi mengembangkan lagi urus niaga agensi terbabit.
Ketika ini Felcra sudah memiliki 3,000 hektar estet padi di Perak selain telah mengenal pasti kira- kira 18,000 hektar di Sarawak dan Sabah untuk dijadikan estet padi.
(Zahid ketika ditemui pemberita, di sini)
Dalam perkembangan lain, Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut mengumumkan peruntukan RM1 bilion untuk pembekalan air bersih di Kelantan bermula tahun ini.
Perkara itu jelas beliau, sebagaimana yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Sebagaimana yang saya nyatakan mengikut apa yang di umumkan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, tatakelola dan libaturus secara telus, itu secara operasinya kita serahkan kepada Kementerian Kewangan," katanya.
Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Felcra Berhad di Bukit Tiu, Machang, yang turut dihadiri, Pengerusi Felcra Berhad Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.