fb fb fb fb fb

KPM minta bantuan Bukit Aman tangani kes buli di sekolah

(FOTO BERNAMA)

GEORGETOWN, 20 Mei-Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan meminta bantuan daripada polis Bukit Aman untuk menjalankan siasatan di sekolah seluruh negara yang didapati berlaku unsur gengsterisme.

Timbalan Menterinya, Lim Hui Ying berkata, perkara itu akan dilaksanakan sekiranya kes buki di sekolah semakin serius dan tidak terkawal.

"Bagi pihak kementerian, sekiranya budaya gengsterisme ini semakin serius dan sukar dibendung, kemungkinan kita akan meminta bantuan daripada Bukit Aman untuk masuk ke sekolah.

Katanya, pihak KPM akan memohon pegawai perhubungan polis untuk membuat pemantauan kerap dengan melakukan rondaan di sekolah yang mempunyai rekod kes buli agar kegiatan tersebut dapat dibendung.

Hui Ying turut berkata, KPM dan sekolah berperanan untuk memastikan setiap sekolah adalah tempat yang selamat untuk pelajar menimba ilmu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tanjong bercakap kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Ahli Parlimen Tanjong di sini.

Mengulas mengenai kes buli melibatkan pelajar di sebuah sekolah di Bagan Jaya, Butterworth, Hui Ying berkata, KPM tidak akan berkompromi dengan kes buli di sekolah dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pelaku selepas siasatan selesai.

Sementara itu, pihak polis telah berjaya mengesan dan menangkap kesemua suspek yang dipercayai terlibat bagi membantu siasatan.

Menurut Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin, pihaknya telah mengarahkan pegawai penyiasat mengambil rakaman percakapan kesemua suspek terbabit.

Kesemua suspek direman empat hari bagi menjalankan siasatan.

Bagaimanapun mereka dibenarkan untuk diikat jamin memandangkan keempat-empat suspek merupakan pelajar sekolah dan masih dibawah umur.

Sebelum ini, tular di media sosial satu klip video berdurasi 34 saat berhubung kes buli membabitkan pelajar di sebuah sekolah di Butterworth.


(FOTO BERNAMA)

Media Baharu