fb fb fb fb fb

KADA beri jaminan bekalan air mencukupi untuk musim baharu tanaman padi

KOTA BHARU, 20 Mei - Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) memberi jaminan bekalan air mencukupi untuk petani memulakan musim baharu tanaman padi pada musim kemarau ini.

Pengurus Besar KADA, Mohd Faizul Mustafa berkata, jadual tanaman padi KADA akan bermula pada minggu pertama Jun ini membabitkan kawasan Kota Bharu Selatan, Kota Bharu Utara, Bachok, Pasir Puteh, Tumpat dan Pasir Mas.

Untuk itu katanya, seramai 7,122 pesawah diminta untuk mengikut jadual yang telah ditetapkan KADA bagi mengelak sebarang masalah termasuk banjir pada hujung tahun.

Beliau berkata bagi memastikan bekalan air mencukupi pihaknya akan membekalkan serta menambah bilangan pam mundur dan mudah alih selain mendapatkan peruntukkan untuk membina 100 telaga tiub tambahan.


(Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Mohd Faizul Mustafa (tengah)
  melakukan tinjauan persediaan menghadapi kemarau di Stesen Pam Kemubu, di Kota Bharu)

Katanya, KADA akan terus berusaha membantu petani dengan mendapatkan peruntukkan selain membekalkan bahan bakar untuk jentera yang digunakan para petani.

"Kita cuba selaraskan jadual kita supaya terlepas daripada kemarau ini, kita menghadapi kemarau tetapi dengan persiapan yang rapi daripada KADA, cuma kita mengelakkan daripada banjir, itu persiapan kita untuk musim 1/2023," kata beliau selepas melakukan tinjauan persediaan menghadapi kemarau di Stesen Pam Kemubu, di sini hari ini.

Mohd Faizul turut berpesan kepada petani supaya menggunakan air dengan sebaiknya dan mengelakkan pembaziran selain menutup batas tanaman padi dengan sempurna.

Katanya, pengurusan KADA akan sentiasa membuat pemantauan dan memberi maklumat kawasan yang mempunyai sumber air bagi membantu menyelamatkan tanaman padi daripada musnah akibat kemarau.

Media Baharu