fb fb fb fb fb

Perunding perniagaan didakwa tipu dokumen tuntutan dana MITRA

KUALA LUMPUR, 27 September- Seorang perunding perniagaan mengaku tidak bersalah atas 15 pertuduhan menipu beberapa dokumen bagi menuntut dana Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA) lebih RM300,000 tiga tahun lalu.

P.Anbalahgan, 61 didakwa menipu Penolong Pengarah Seksyen Pendidikan Latihan Mitra, R.Kavithah memperdayakannya bahawa dokumen yang dikemukakan adalah tulen.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun hingga 10 tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding sama, Anbalahgan juga mengaku tidak bersalah atas 15 pertuduhan pilihan, menggunakan dokumen palsu sama di tempat dan tarikh sama.

Dia didakwa di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Hakim Suzana Hussin membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali setiap bulan.

Mahkamah membenarkan tertuduh membayar wang jaminan secara ansuran, RM5,000 hari ini dan 4 Oktober dan RM10,000 pada 11 Oktober ini.

Sebutan semula kes ditetapkan 3 November ini.


(Foto hiasan)

 

Media Baharu