fb fb fb fb fb

Peruncit kenakan caj tambahan penjualan telur diberi notis

ALOR SETAR, 9 Januari- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah mengeluarkan dua notis kepada peruncit yang mengenakan caj tambahan ke atas penjualan telur ayam di sekitar daerah Kubang Pasu.

Menurut Pengarah KPDN Kedah, Affendi Rajini Kanth, pihaknya telah menjalankan siasatan berhubung aduan pengguna yang tular di media sosial semalam berhubung caj tambahan itu.

Beliau berkata, dua notis berkenaan dikeluarkan bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dan disiasat bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011

"Hasil siasatan lanjut terhadap invois belian mendapati, pihak pembekal mengenakan caj tambahan iaitu kos pengangkutan dan kos pengendalian antara 90 sen hingga RM3 bagi setiap papan telur menyebabkan pihak peruncit terpaksa menanggung kos yang tinggi.

Susulan itu, peruncit terpaksa mengenakan kos tersebut kepada pembeli," katanya menerusi kenyataan.

(Affendi Rajini Kanth, Pengarah KPDN Kedah)

Tambah beliau, pelaksanaan harga maksimum ayam dan telur ayam yang bermula pada 12 Oktober tahun lalu masih berkuat kuasa dan akan diteruskan sehingga suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Terdahulu, Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) menyifatkan tindakan sebuah kedai runcit di Mukim Naga, Kubang Pasu yang mengenakan caj pengendalian RM3 untuk setiap papan telur tidak sepatutnya berlaku.

Isu itu timbul selepas seorang pengguna Facebook berkongsi resit pembelian telur termasuk caj pengendalian sebanyak RM6 bagi dua papan telur gred D.

Media Baharu