fb fb fb fb fb

8 premis diarah tutup dalam Ops Premis Makanan Bersih

JOHOR BAHRU, 10 Januari- Lapan premis diarah tutup manakala 11 premis diberi notis arahan pembersihan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) kerana kotor menerusi Ops Premis Makanan Bersih di sekitar sini, bermula pukul 2.00 petang, semalam.

Sebanyak 58 premis diperiksa dengan 72 notis kesalahan berjumlah RM37,400 dikeluarkan mengikut Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Pengarah JKNJ, Datuk Dr. Aman Rabu berkata, tiga kesalahan utama dikesan iaitu 24 notis dikeluarkan kerana didapati kotor, 19 notis kesalahan melibatkan kebersihan dan lapan notis kerana gagal pamer daftar premis makanan.

"Kita akan memastikan bahawa kalau boleh premis setiap tahun kita periksa. Premis yang didapati melanggar peraturan yang ada, kalau markah daripada 50 kita keluarkan arahan ditutup untuk buat pembersihan. Jumlah yang diberi amaran dan untuk ditutup banyak jadi saya rasa kami jabatan kesihatan belum puas hati dengan keadaan premis-premis yang telah kita periksa," katanya selepas operasi bersepadu premis makanan (Ops Bersih) di Stulang Laut, di sini.

(Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ), Datuk Dr. Aman Rabu)

Menerusi operasi itu juga, sebuah premis dikompaun RM1,500 kerana menjual rokok tidak sah dan tiada notis larangan penjualan rokok bawah 18 tahun.

Kompaun dikeluarkan mengikut Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

Media Baharu