fb fb fb fb fb

Warga emas maut langgar kenderaan PLUS Ronda di lorong kecemasan

IPOH, 10 Januari- Seorang lelaki warga emas maut dalam satu kemalangan membabitkan empat buah kenderaan di Kilometer (KM) 358.7 Lebuhraya Utara Selatan arah Utara, petang semalam.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Liew Kim Fah, 71, pemandu kereta Mazda CX-5 manakala isterinya, Oo Yop Chu @ Ho Yeh Choo, 59, pula cedera parah.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata dalam kejadian pada kira-kira pukul 5.00 petang itu, sebuah pacuan empat roda Toyota Hilux milik PLUS Ronda sedang berhenti di lorong kecemasan untuk memberi bantuan kepada pemandu Suzuki Swift yang mengalami masalah tayar pancit.

“Tiba-tiba sebuah kenderaan jenis Mazda CX-5 telah melanggar belakang Toyota Hilux tersebut sebelum terbabas ke kanan jalan, dan kemudiannya dilanggar pula oleh kereta Kia Optima.

“Akibat pelanggaran itu, pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Mazda CX-5, seorang lelaki berumur 70 tahun telah meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Tapah untuk bedah siasat manakala isterinya, 59 tahun menerima rawatan di Hospital Slim River, akibat kecederaan di kepala,” katanya dalam satu kenyataan.

(Anggota bomba membantu membawa keluar mangsa yang tersepit / FOTO IHSAN JBPM)

Sementara itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Slim River berkata pihaknya bergegas ke tempat kejadian bagi mengeluarkan mayat mangsa dan isterinya yang tersepit dan operasi tamat sekitar pukul 6.00 petang.

Media Baharu