fb fb fb fb fb

Seorang remaja maut dipijak gajah liar

LIPIS, 9 Januari- Seorang remaja orang asli maut akibat dipijak gajah liar ketika berada di kebun durian bersama keluarganya di Kampung Tual, Pos Sinderut, di sini.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd Noor berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada tok batin kampung itu pada pukul 4.30 petang.

"Berdasarkan siasatan, serangan gajah itu dipercayai bermula dari Kampung Regang, sebelum dihalau oleh penduduk kampung.

Haiwan itu kemudiannya lari menghala ke kawasan kebun durian Kampung Tual dan menyerang mangsa, Andy Yok Manin, 15 tahun yang berada di kebun berkenaan," katanya.

(Superintenden Azli Mohd Noor, Ketua Polis Daerah Lipis)

Susulan itu, keluarga membawa mayat mangsa ke rumahnya yang terletak kira-kira 30 kilometer dari lokasi kejadian.

Mayat kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat.

Sementara itu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menerusi satu hantaran di Facebook rasminya memaklumkan, beliau telah mengarahkan Unit Hal Ehwal Orang Asli, Pejabat Menteri Besar Pahang untuk menziarahi keluarga mangsa serta menyampaikan sumbangan.

Media Baharu