fb fb fb fb fb

Perubahan iklim dunia, Malaysia komited kurangkan keamatan karbon

Foto FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 24 April- Malaysia menyasarkan komitmen untuk mengurangkan intensiti karbon sebanyak 45 peratus menjelang tahun 2030 selain mencapai sifar bersih karbon menjelang 2050.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi satu kenyataan menegaskan, komitmen itu sejajar matlamat Malaysia dalam usaha menangani cabaran perubahan iklim dunia.

Menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau, Datuk Seri Anwar bersama 16 Ketua Negara dan kerajaan lain menyertai dialog maya dipengerusikan Setiausaha Agung PBB, António Guterres dan Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva sebagai persediaan Persidangan Perubahan Iklim ke-30 (COP30).

Dalam dialog itu, pemimpin bertukar pandangan serta amalan terbaik dalam menangani isu perubahan iklim, serta membincangkan persediaan untuk penetapan sasaran Nationally Determined Contribution (NDC) akan datang.

Jelasnya, Malaysia menekankan pentingnya kerjasama global dan pembiayaan iklim yang adil terutama untuk negara membangun.

Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia komited memacu tindakan iklim serantau yang lebih kukuh, memperjuangkan peralihan tenaga yang adil dan inklusif, serta menjadikan ASEAN hab untuk inovasi hijau dan pelaburan mampan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM