KUCHING, 24 April - Seramai 821 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di Sarawak mencatat keputusan cemerlang gred A+, A, A-, menurut Pengarah Pendidikan Negeri, Omar Mahli.
Manakala seramai 30,341 calon atau 94.11 peratus berjaya memperoleh sijil SPM dengan lulus Bahasa Melayu dan Sejarah, dua mata pelajaran teras kelayakan.
Menurut beliau keputusan SPM tahun ini menyaksikan peningkatan prestasi keseluruhan dengan Gred Purata Negeri (GPN) bertambah baik kepada 4.84.
"Angka GPN meningkat 0.08 mata berbanding tahun sebelumnya, menjadikannya pencapaian terbaik Sarawak sejak 2013.
"Malah, prestasi mengikut lokasi turut menunjukkan trend positif," katanya dalam sidang media pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hari ini.
Katanya, GPN bagi calon luar bandar meningkat kepada 5.11 berbanding 5.36 pada 2023, manakala calon bandar mencatat GPN 4.46, lebih baik berbanding 4.54 tahun sebelumnya.
Selain itu, 42 daripada 79 mata pelajaran menunjukkan peningkatan prestasi, manakala tiga subjek kekal pada tahap yang sama.
Bagi calon berkeperluan khas, seramai 86 daripada 127 calon (67.72 peratus) layak menerima sijil, meningkat berbanding 81 calon (65.85 peratus) pada 2023.
Di negeri ini, seramai 32,239 calon sekolah KPM hadir menduduki peperiksaan, manakala 800 calon direkodkan tidak hadir.
Untuk rekod, seramai 402,918 calon mendaftar peperiksaan SPM bagi 2024 di seluruh negara.
Bilangan calon ini menunjukkan peningkatan sebanyak 1.7 peratus atau 6,994 calon berbanding SPM 2023.
Daripada keseluruhan calon berdaftar SPM 2024, 386,714 adalah calon baharu yang mendaftar sekurang-kurangnya enam mata pelajaran dengan 344,919 daripadanya adalah calon sekolah KPM.