fb fb fb fb fb

Pertingkat kesedaran mengenai 'Job Scam'

Timbalan Menteri Luar Negeri Malaysia, Datuk Mohamad Alamin

SEPANGGAR, 6 Mei - Kesedaran mengenai penipuan pekerjaan 'Job Scam' dari luar negara perlu dipertingkat dalam kalangan rakyat, berikutan jenayah itu semakin berleluasa di Malaysia.

Timbalan Menteri Luar Negeri Malaysia Datuk Mohamad Alamin berkata, Sabah kini mempunyai sejumlah 42 kes berkaitan 'Job Scam' yang membabitkan golongan berumur 18 hingga 29 tahun.

"Job scam juga sedang berleluasa sekarang ini dan rakyat Malaysia yang terperangkap mereka mendapat tawaran bekerja luar negara dengan gaji lumayan, dapat tiket percuma, hotel percuma, makan percuma, elaun tinggi.

"Tetapi mereka terjerumus dan dijadikan sebagai 'Job Scam', kalau mereka terperangkap nanti macam-macam perkara berlaku sehingga membahayakan nyawa mereka juga," kata Mohamad Alamin kepada media dalam Program Diplomasi Awam Wisma Putra yang diadakan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), di sini.

Program tersebut diikuti dengan sesi interaksi serta soal jawab bersama-sama lebih kurang 600 pelajar UiTM yang kebanyakkan adalah daripada Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (FSPPP).

Menurut Mohamad Alamin, program ini merupakan antara inisiatif kementeriannya memberi kesedaran kepada orang awam termasuklah mahasiswa dan mahasiswi universiti mengenai isu-isu diplomasi dan hubungan antarabangsa.

Dalam ucapannya ketika merasmikan program tersebut, beliau menegaskan kepentingan negara untuk menyedari dan menangani segala cabaran landskap global, antaranya perlumbaan kuasa geopolitik yang semakin ketara antara negara-negara kuasa utama dunia, kelesuan ekonomi, isu persempadanan darat dan maritim, serta ancaman krisis kesihatan.

Katanya lagi, Malaysia perlu terus bergerak maju kehadapan memandangkan tempoh yang mendatang ini sangat signifikan kepada negara kerana telah dijadualkan untuk mengendalikan Kepengerusian ASEAN bagi tahun 2025, yang merupakan tunjang utama dasar luar negeri serta komitmen mendalam Malaysia terhadap perpaduan dan kepusatan ASEAN.

Beliau berharap pelaksanaan program sedemikian mampu memberi kesedaran dan maklumat yang sewajarnya kepada pelbagai lapisan masyarakat khususnya di Sabah.

"Ada beberapa perkara-perkara penting yang perlu kita tahu dan kita faham apatah yang melibatkan isu-isu antarabangsa seperti Sabah, melibatkan isu persempadan darat persempadan laut dan sebagainya.

"Jadi harapan saya dengan adanya program ini dapat membantu orang awam dan juga mahasiswa untuk menerima maklumat yang paling sahih maklumat yang paling tepat, jangan terima apa-apa maklumat yang tidak tepat kerana ia boleh mengeruhkan keadaan dan memesongkan persepsi kita," katanya.

TETITIA YUSOFF