PUTRAJAYA, 6 Mei- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar menafikan tohmahan yang mengatakan Persidangan Antarabangsa Ketua-Ketua Agama 2024 yang akan berlangsung esok adalah untuk mempromosi pluralisme agama.
Mohd Na’im Mokhtar menyifatkan tohmahan itu tidak benar, sebaliknya persidangan tersebut perlu diadakan supaya pemimpin agama bersatu dan berperanan dalam menangani isu kemanusiaan yang merentas pelbagai agama.
"Persidangan ini tidak ada kena mengena dengan mempromosi pluralisme agama. Persidangan ini memang menghimpunkan ketua-ketua agama di seluruh dunia. Kita tahu apa yang berlaku di Palestin, jadi apa peranan pemimpin agama ini dapat pastikan isu kemanusiaan merentas agama.
"Jadi apa yang berlaku di Palestin khususnya akan dapat dibendung. Pemimpin-pemimpin agama dihormati tetapi sekiranya mereka tidak ke depan, bimbang mereka tak bersatu menyebabkan masyarakat berpecah," katanya dalam sidang media di sini.
Persidangan Antarabangsa Ketua-Ketua Agama 2024 akan bermula esok dan dijangka menghimpunkan pemimpin yang terdiri daripada para ulama, cendekiawan, ahli Parlimen, tokoh-tokoh pemimpin agama Islam dan bukan Islam dari 50 buah negara dengan tema Kesatuan dalam Kepelbagaian (Unity Within Diversity)
Manakala persidangan Majlis Ulama Asia 2024 yang bertemakan 'Perpaduan' akan berlangsung pada 8 Mei melibatkan 200 para ulama dari dalam negara dan negara-negara Asia.