fb fb fb fb fb

KKM jamin akan dedah data AEFI vaksin COVID-19

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad

PUTRAJAYA, 6 Mei - Semua data berhubung kesan sampingan susulan imunisasi (AEFI) yang berpunca daripada vaksin COVID-19 akan didedahkan, pada satu waktu yang akan ditetapkan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, perkara itu pernah dibangkitkan beliau dalam mesyuarat pasca Kabinet agar laporan AEFI didedahkan kepada umum.

"Pokoknya, kami (KKM) tidak akan menyembunyikan apa-apa berkaitan AEFI kerana ia adalah tanggungjawab kerajaan kepada rakyat.

"(Ini kerana) ia (data) diminta oleh banyak pihak termasuk orang awam. Kita ada simpan (rekod) daftar mengenai AEFI, memang kita simpan satu daftar dan memang ada, bahkan semua yang dalam data, termasuk yang meninggal (dunia), kita ada simpan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Prapelancaran Persidangan Penjagaan Kesihatan Antarabangsa (MIH) Megatrends 2024 di sini.

Beliau ditanya sama ada terdapat sebarang laporan mengenai kes trombosis dengan sindrom "thrombocytopenia" yang dikaitkan dengan vaksin COVID-19 AstraZeneca di Malaysia, seperti dilaporkan di Indonesia semalam.

Sementara itu, ditanya sama ada beliau sudah menerima penjelasan daripada firma farmaseutikal AstraZeneca berhubung kesan sampingan vaksin COVID-19, beliau berkata setakat ini masih menunggu penjelasan rasmi berkenaan perkara itu.

Sebelum ini, Dzulkefly dilaporkan berkata syarikat itu harus bertanggungjawab dengan mengemukakan penjelasan yang teliti dan telus bukan sahaja kepada Malaysia malah seluruh dunia bagi mengelak berlakunya kebimbangan awam.

Mengenai MIH Megatrends, beliau berkata persidangan tiga hari itu akan menjadi satu platform yang bakal menghimpunkan kira-kira 1,000 pemain industri kesihatan bagi berkongsi kepakaran mengenai strategi kesihatan terkini dan penyelesaian terbaik menerusi kerjasama pintar pelbagai pihak.

“ Hasil daripada Megatrends akan menjadi penting untuk memajukan sains perubatan, meningkatkan penyampaian penjagaan kesihatan, memupuk kerjasama dan menggalakkan pembelajaran berterusan dalam kalangan profesional,” katanya.

Terdahulu, beliau menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman antara KKM dan KPJ Healthcare Berhad yang akan menjadi rakan strategik kementerian dalam menjayakan MIH Megatrends yang bakal berlangsung pada 25 hingga 27 Oktober depan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

TETITIA YUSOFF