fb fb fb fb fb

Pertemuan menteri, Ahli Parlimen BN dengan PM bincang isu semasa

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir/ BERNAMA

JELI, 12 Julai- Pertemuan menteri dan ahli parlimen daripada Barisan Nasional (BN) dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, bagi membincangkan isu semasa dan dasar kerajaan.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, pertemuan itu turut membincangkan perjalanan pentadbiran, penjelasan isu berbangkit dan interaksi antara ahli parlimen.

Beliau berkata, pertemuan antara Ahli Parlimen BN dengan Perdana Menteri sentiasa diadakan bagi mendengar dan mengikuti sendiri perkembangan semasa secara langsung daripada Perdana Menteri.

Katanya, dalam pertemuan itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi BN turut menyampaikan beberapa cadangan kepada kerajaan.

Menurutnya, selain BN, Perdana Menteri juga turut mengadakan pertemuan secara berkala dengan parti atau komponen yang membentuk Kerajaan Perpaduan.

"Oleh kerana Barisan Nasional menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan ini atau Kerajaan MADANI ini, maka hubungan yang begini sering kali kita adakan termasuk juga mesyuarat secara berkala dengan pimpinan-pimpinan utama yang berterusan.

"... dan ini termasuk juga, ada kalanya mengadakan pertemuan-pertemuan seperti ini. Jadi dari situ kita berbincang dan juga Perdana Menteri menyampaikan penjelasan tentang dasar-dasar kerajaan dan lain lain lagi", katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jeli 2025, pada Sabtu.

Media sebelum ini melaporkan bahawa Perdana Menteri mengadakan pertemuan dengan beberapa Ahli Parlimen BN di kediaman rasminya di Putrajaya.

Pertemuan yang berlangsung lebih sejam itu bertujuan membincangkan isu-isu semasa termasuk persediaan menghadapi sidang Parlimen yang akan datang.

Dalam perkembangan lain, Datuk Seri Dr Zambry menyatakan keyakinan bahawa BN mampu menawan semula negeri Kelantan pada pilihan raya akan datang.

Beliau berkata, mengambil semangat Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Gua Musang, walaupun sukar, UMNO mampu merampas kembali kerusi hasil penyatuan ahli parti.

Bagaimanapun, katanya kepimpinan UMNO Kelantan perlu memperkukuhkan beberapa perkara, selain memberi peluang kepada pemimpin muda dalam pilihan raya akan datang.

ROSLINA BINTI DIN