KUALA LUMPUR, 12 Julai - Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan satu pertemuan khas antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama semua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) diadakan malam tadi menjelang Persidangan Parlimen hujung bulan ini.
Menurut beliau, pertemuan tersebut membincangkan beberapa isu penting termasuk kontroversi pelantikan Ketua Hakim Negara dan cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).
Jelasnya, UMNO dan BN kekal konsisten untuk tidak mempolitikkan isu tersebut, sebaliknya berpegang teguh kepada kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh tiga institusi utama negara iaitu Jabatan Peguam Negara (8 Julai), Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi (9 Julai), serta Istana Negara (10 Julai).
“Berdasarkan ketiga-tiga kenyataan itu, Ahli Parlimen BN sepakat bahawa penubuhan RCI bercanggah dengan semangat kenyataan rasmi ketiga-tiga institusi berkenaan. Isu pelantikan Ketua Hakim Negara tidak sepatutnya dipolitikkan,” katanya.
Tambah beliau, pelantikan Ketua Hakim Negara adalah kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong berdasarkan nasihat Perdana Menteri seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid turut memaklumkan pertemuan itu turut menyentuh isu ekonomi rakyat menjelang pembentangan Belanjawan Oktober nanti.