fb fb fb fb fb

UMNO tidak lupa pemimpin berjasa

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid menegaskan semangat setia kawan dalam UMNO tidak wajar dipersoalkan. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 12 Julai - Kesetiaan dan pengiktirafan terhadap jasa pemimpin terdahulu kekal menjadi pegangan utama UMNO, seluruh ahli dan pimpinannya.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan hubungan beliau dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berakar sejak lebih tiga dekad lalu, ketika beliau dilantik sebagai Setiausaha Politik Najib yang ketika itu merupakan Menteri Belia dan Sukan pada 1 Oktober 1987.

“Orang ini (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid) akan mempertahankan beliau,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Selayang ke-37, hari ini.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid turut menegaskan bahawa semangat setia kawan dalam UMNO tidak wajar dipersoalkan, terutama apabila melibatkan tokoh yang telah banyak berjasa kepada negara dan parti.

Beliau turut menggesa agar semua pihak tidak mempertikai sebarang usaha yang sedang dilakukan bagi membela keadilan untuk Datuk Seri Najib.

“Jangan tanya lebih-lebih apa saya buat. Selagi saya diberikan kepercayaan oleh UMNO, saya pasti akan terus mempertahankan Datuk Seri Najib,” katanya.

Kenyataan itu turut merujuk kepada perkembangan terkini dakwaan mengenai titah nota tambahan yang didakwa membolehkan Datuk Seri Najib menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Bagaimanapun, permohonan menggunakan dokumen itu sebagai bukti baharu dalam semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi masih berdepan kekangan dari sudut prosedur, meskipun Jabatan Peguam Negara tidak menafikan kewujudan titah berkenaan.

Sebelum ini, UMNO secara konsisten menyatakan sokongan terbuka terhadap usaha membela keadilan untuk bekas Presiden parti itu, selaras dengan solidariti dalam kalangan pimpinan dan akar umbi.

TUN JULIA MOHD TAHIR