LANGKAWI, 12 Julai- Sekolah Patriotik UMNO mendapat sambutan menggalakan dalam kalangan generasi muda di dalam parti tersebut.
Menurut Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, sekolah patriotik tersebut bertujuan melahirkan pemimpin muda yang berprinsip, setia pada parti, berpengetahuan luas dan mampu berkhidmat kepada masyarakat dan negara.
Ia dilihat sebagai langkah strategik untuk memperkukuhkan asas parti dan melahirkan generasi pemimpin yang berintegriti serta berdaya saing dalam landskap politik negara.
"Dengan adanya Sekolah Patriotik UMNO ini mereka mendapat gambaran jelas dan ini memudahkan lagi kerja mereka sebagai pempengaruh nanti", katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Langkawi.
Menurut beliau, parti perlu melahirkan pemimpin berkualiti bukan hanya bergantung kepada pencapaian akademik, tetapi juga perlu didasari oleh nilai kepimpinan, keikhlasan berkhidmat dan keupayaan memahami denyut nadi rakyat.
Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib.
Tambah beliau, kumpulan pertama telah menamatkan pengajian dan majlis graduasi telah diadakan pada bulan Mei lalu. Ia kini diteruskan dengan kumpulan kedua, manakala pengambilan bagi kumpulan ketiga masih dibuka.