KOTA BHARU, 1 Julai- Seramai lapan regu akan berentap bagi merebut gelaran juara pada Pertandingan Seni Silat Jatuh RTM 2022 yang akan berlangsung di Dewan Terbuka Kelantanfm, malam ini.
Pengarah Jabatan Penyiaran Kelantan,Wan Azhan Wan Hamat berkata, lebih 5,000 pengunjung dijangka hadir menyaksikan acara tersebut, selain 3,000 tontonan menerusi Facebook live Kelantanfm. Ujarnya, persiapan akhir bagi pertandingan itu berjalan lancar.
“Lapan regu yang akan berentap, lima pada malam pertama dan tiga pada malam kedua merupakan regu yang telah dipilih dua minggu yang lalu melalui melalui proses pelengkap regu di mana ini telah pun diperakui memang layak dan diperakui antara yang terbaik.
"Suka saya maklumkan semua peserta yang mengikuti pertandingan ini melalui tapisan yang ketat termasuklah tapisan yang AADK, jadi insya-Allah tiada perkara-perkara atau unsur-unsur yang tidak sihat dalam pertandingan ini termasuk unsur yang boleh merosakkan kesenian seni silat jatuh itu sendiri," katanya kepada pemberita di Kota Bharu.
(Pengarah Jabatan Penyiaran Kelantan, Wan Azhan Wan Hamat)
Beliau berharap orang ramai khususnya ibu bapa mengambil peluang untuk membawa anak-anak serta keluarga untuk menyaksikan pertandingan yang julung kali diadakan stesen radio berkenaan dalam mengangkat seni warisan yang sebelum ini banyak dimainkan di majlis-majlis kenduri.
Penyampaian hadiah akan disempurnakan Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Che Roslan Che Daud, manakala kemuncaknya pada malam esok akan dirasmikan Menteri Komunikasi dan Multimedia (K-KOM), Tan Sri Annuar Musa.