PUTRAJAYA, 1 Julai- Proses pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) yang mencadangkan denda maksimum sehingga RM10 juta kepada pelaku jenayah pencemaran alam sekitar, kini di peringkat terakhir, kata Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang.
“Sudah siap semua, proses di peringkat akhir sekarang ini. (KASA) tunggu giliran untuk dibentang di Parlimen,” katanya kepada pemberita selepas Program Berbasikal ke Pejabat Bersama Warga KASA di sini hari ini.
Beliau berkata peruntukan sedia ada antaranya hukuman denda RM500,000 bagi kesalahan jenayah alam sekitar, adalah 'amat kurang' dan ada kalanya pesalah hanya dikehendaki membayar kompaun 10% daripadanya atau RM50,000 sahaja.
“Syarikat besar ingat RM50,000 hanya perkara kecil sahaja. Kalau 10% daripada RM10 juta, mereka perlu bayar RM1 juta dan ia akan beri kesan besar,” katanya.
Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 digubal untuk mencegah, menghapus, mengawal pencemaran, membaiki alam sekeliling, dengan lima perkara utama diperuntukkan di bawah akta itu melibatkan pencemaran udara, pencemaran bunyi bising, pencemaran air, pencemaran tanah serta kawalan buangan terjadual.
Menurut rekod Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebanyak 4,111 aduan pencemaran alam sekitar diterima bagi tempoh enam bulan pertama 2022, iaitu lebih 80% aduan merangkumi pencemaran udara atau pembakaran terbuka.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini menyatakan komitmen kerajaan dalam perihal penggubalan akta berkaitan alam sekitar selain mahu pelanggaran kes alam sekitar ditangani menerusi undang-undang yang lebih tegas.
(Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Mansor Othman)
Sementara itu, Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Mansor Othman berkata KASA secara proaktifnya telah menyelesaikan pelbagai aduan berkaitan alam sekitar khususnya yang diterima di media sosial.
“Mana yang kita dapat (laporan), kami akan respons secepat mungkin dan salurkan kepada jabatan berkaitan, contohnya JAS atau Jabatan Pengairan dan Saliran. Selain tindakan di lapangan, jabatan itu perlu juga hantar laporan kepada kementerian,” katanya.
Mengenai program berbasikal itu, Mansor berkata KASA merupakan kementerian pertama yang melancarkan program sedemikian seiring dengan hasrat menjaga kelestarian alam sekitar.
Seramai 40 warga KASA menyertai program berkenaan seawal pukul 7.00 pagi, bergerak dari rumah masing-masing sebelum berkumpul di Kompleks Nasyrul Quran, Presint 14, di sini dan berbasikal ke kementerian dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya bagi pengurusan lalu lintas.
Bagi fasa pertama ketika ini, Mansor berkata program berbasikal warga KASA akan diadakan secara mingguan selain berganding bahu merealisasikan hasrat menjadikan Malaysia sebagai negara rendah karbon menjelang 2030. -BERNAMA