PUTRAJAYA, 4 September– Pertandingan Pengisahan Kenegaraan@Kelab Malaysiaku wajar diperluas kepada komuniti Madani, bukan hanya terhad kepada pelajar semata-mata.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pertandingan yang menggabungkan elemen lakonan dan penceritaan itu berjaya menyemai semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda.
Malah, turut berpotensi menyatukan rakyat pelbagai latar belakang melalui apresiasi terhadap sejarah dan perjuangan negara.
“Bagi tahun hadapan, saya berharap program ini bukan sahaja dapat diteruskan, malah dirancakkan lagi khususnya sempena bulan kebangsaan.
Terdapat banyak pengisian dan program yang boleh kita laksanakan, termasuk pertandingan dalam kalangan 1,878 komuniti Madani di seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pertandingan Akhir Pengisahan Kenegaraan@Kelab Malaysiaku Peringkat Kebangsaan 2025 di sini, hari ini.
Dalam pertandingan akhir itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kunak Jaya, Sabah muncul juara menerusi persembahan bertajuk Namamu Kekal Dalam Sejarah.
Mereka membawa pulang wang tunai RM6,000, piala pusingan, plak dan sijil kemenangan yang disampaikan sendiri oleh Datuk Fahmi.
Sekolah Seni Malaysia Sarawak dinobatkan sebagai naib johan, manakala tempat ketiga dimenangi Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Maung, Pulau Pinang.
Tiga lagi pasukan iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Idris Shah dari Perak, Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abdul Jalil dari Johor, dan Sekolah Menengah Kebangsaan Yam Tuan Radin dari Negeri Sembilan menerima hadiah sagu hati.