PUTRAJAYA, 4 September – Kerajaan komited memperluas agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) secara inklusif dengan memberi fokus kepada golongan OKU, pelajar sekolah pondok serta cadangan penubuhan TVET maritim di Pantai Timur mengikut keperluan tempatan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata cadangan itu antara yang disuarakan bagi memberikan peluang sama rata kepada mereka berkeperluan khas.
"Sesuatu yang agak berlainan pada kali ini adalah cadangan supaya TVET diadakan khusus untuk golongan OKU, dan saya akan bawa perkara ini ke majlis TVET dan saya juga akan kemukakan kepada Kementeriaan Kewangan untuk dijadikan sebagai salah satu agenda di dalam ucapan belajarwan pada 10 Oktober ini."
"Yang penting, masyarakat OKU dan golongan istimewa ini harus diberikan peluang yang sama rata dan kursus-kursus yang bersesuaian dengan cita rasa mereka dan juga bertepatan dengan kehendak pasaran," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Sesi Dialog Belanjawan 2026 KKDW bersama pihak berkepentingan di sini, hari ini.
Beliau turut memaklumkan, terdapat cadangan agar pelajar sekolah pondok turut diberi peluang menyertai program TVET sebagaimana pelajar Maahad Tahfiz.
Penelitian lanjut akan dibuat bersama pihak sekolah agama rakyat di peringkat negeri.