KUALA LUMPUR, 4 September– Memasuki hari kelima pemberian Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100, rata-rata penerima menyatakan bantuan itu benar-benar meringankan beban kos sara hidup, khususnya untuk membeli barangan keperluan harian.
Bantuan secara 'one-off' ini memberi kelegaan kepada pelbagai lapisan rakyat yang berpeluang mendapatkan barangan asas dengan lebih mudah.
Tinjauan RTM di sekitar ibu negara mendapati, penerima berkongsi pengalaman positif, selain memuji kelancaran sistem pembayaran tanpa tunai menggunakan MyKad.
“Terima kasih kepada kerajaan kerana saya gembira dapat beli banyak barang,” kata Tan Chee Kok, pekerja swasta.
Seorang suri rumah, Rosnia Ahmad, pula berkata, pembelian hari ini berjalan lancar.
“Alhamdulillah, kalau semalam ada sedikit masalah, hari ini sudah okay,” katanya.
Bagi Shankar Subramaniam, bantuan itu memudahkan urusan membeli barangan makanan.
“Senang nak bayar, barang pun cukup. Terima kasih banyak kepada kerajaan,” ujarnya.
Siti Atienza Shahira Asma Niza menyifatkan, pengalaman pembelian menerusi SARA sangat membantu.
“Kebetulan stok baru masuk, jadi memang bagus untuk bantu orang macam kami menampung keperluan asas,” katanya.
Seorang pesara, Zurina Harun pula menggambarkan pengalaman itu menyeronokkan kerana sistem lancar dan barisan kaunter tidak terlalu panjang.
Kerajaan sebelum ini bantuan SARA bernilai RM100 kepada semua warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas, melibatkan 22 juta penerima dengan jumlah keseluruhan RM2 bilion.
Bantuan itu boleh digunakan mulai 31 Ogos hingga 31 Disember 2025 di lebih 7,300 premis runcit berdaftar seluruh negara.