LANGKAWI, 4 September -Malaysia perlu segera menghentikan mengimport sisa plastik dari luar negara bawah alasan kitaran ekonomi.
Pemangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah bersetuju untuk menghentikan tindakan import plastik terpakai tersebut.
Beliau berkata tindakan negara luar menghantar plastik terpakai ke Malaysia hanya kerana kos pelupusan lebih murah dari negara mereka. Plastik adalah bahan yang sangat sukar terurai dan menyumbang kepada pencemaran yang serius.
"Sebab itu baru-baru ini saya tekankan bahawa kita nak selesaikan mengenai plastik, tetapi pada masa sama kita import plastik terpakai ke negara kita. Sebab itulah apabila saya melihat perkara ini baru-baru ini, saya terus nyatakan, hentikan. Kita tidak boleh benarkan plastik atau sisa dari luar negara dibawa masuk ke sini atas nama ekonomi kitar semula. Tidak boleh," katanya dalam sidang media
sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Alam Sekitar ASEAN ke-18 (AMME-18) yang berakhir hari ini, di sini.
Selain daripada pencemaran sisa plastik, perubahan iklim dan kehilangan biodiversiti juga menjadi aspek utama yang perlu dititikberatkan.