KUALA LUMPUR, 4 September– Industri perabot Malaysia perlu meneroka inovasi, reka bentuk dan kelestarian bagi memastikan daya saing berterusan di pasaran antarabangsa.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin berkata, sektor itu tidak boleh lagi bergantung kepada faktor harga semata-mata.
Beliau menegaskan, tiga trend utama akan membentuk masa depan industri perabot iaitu kelestarian dan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), transformasi digital serta inovasi dalam reka bentuk.
“Dalam iklim semasa yang dipengaruhi tarif, perubahan rantaian bekalan, tekanan pematuhan ESG dan gaya hidup pengguna yang berubah-ubah, fokus kepada aspek ini bukan sahaja memberi kelebihan malah penting untuk kelangsungan serta pertumbuhan jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Malaysia Furniture & Furnishings Market (MFFM) 2025 yang berlangsung di ibu negara, hari ini.
Menurutnya, penganjuran MFFM dilihat tepat pada masanya kerana ia memenuhi keperluan pembeli antarabangsa yang lazimnya membuat dua pusingan pembelian setiap tahun iaitu pada Mac dan September.
“Tahun ini, lebih 70 pempamer dari dalam dan luar negara menyertai MFFM, sekali gus membuka peluang lebih luas untuk pengeluar tempatan menembusi pasaran global,” katanya.
Jelas beliau lagi, MFFM kini berkembang menjadi hab strategik perdagangan perabot Malaysia dengan misi dua hala iaitu menggerakkan pengeksport ke pasaran antarabangsa sambil memperkukuh asas domestik industri.
MFFM 2025 turut mendapat sokongan Kementerian Perladangan dan Komoditi, Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia, Majlis Kayu Malaysia dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).
Edisi kedua pameran itu berlangsung dari 4 hingga 6 September dengan penyertaan pempamer tempatan dan luar negara termasuk China dan Jepun, serta menarik pembeli dari lebih 50 negara.