KUALA LUMPUR, 4 September – Satu projek rintis bawah program Jualan Rahmah akan mewajibkan pengguna mengimbas kod QR bagi membeli minyak masak bersubsidi.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, langkah itu bertujuan menilai penerimaan orang ramai sebelum diperluas ke seluruh negara.
“Kami masih menilai sama ada pengguna boleh menerima mekanisme ini. Apabila maklumat mencukupi, barulah ia boleh diperluaskan ke semua premis peruncitan. Buat masa ini, kita belum ada garis masa," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media bersempena Majlis Perasmian Soft Launch ASEAN E-Commerce Conference 2025 di ibu negara.
Terdahulu, Fuziah memaklumkan kerajaan sedang membangunkan aplikasi Sistem Penstabilan Harga Minyak Masak yang hanya membenarkan pembelian setelah pengesahan kewarganegaraan dilakukan.
Sistem baharu itu direka untuk menghalang warga asing membeli barangan kawalan, khususnya minyak masak yang sering sukar diperoleh rakyat tempatan.