fb fb fb fb fb

RUU Kredit Pengguna 2025 diluluskan, tubuh Suruhanjaya Kredit Pengguna

Lim Hui Ying, Timbalan Menteri Kewangan

KUALA LUMPUR, 4 September- Rang Undang-undang Kredit Pengguna (RUUKP) 2025 diluluskan di Dewan Negara selepas bacaan kali kedua dan ketiga, hari ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, berkata RUUKP menyediakan asas kukuh untuk mengawal selia industri kredit serta melindungi pengguna melalui penubuhan Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP).

Menurutnya, sebarang aktiviti Beli Sekarang Bayar Kemudian (BNPL), termasuk entiti antarabangsa yang mahu beroperasi di Malaysia, perlu dilesenkan oleh SKP.

“Syarikat BNPL juga perlu membuat penyerahan laporan berkala kepada SKP dan entiti tanpa lesen akan tertakluk kepada tindakan penguatkuasaan oleh SKP,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan RUUKP 2025.

Beliau menambah, SKP akan mewajibkan syarikat BNPL menjalankan penilaian kelayakan kredit dan kemampuan berhutang sebelum sebarang pinjaman ditawarkan.

Penilaian itu mengambil kira jumlah pendapatan serta komitmen perbelanjaan pengguna kredit bagi memastikan kemampuan membayar balik pinjaman.

RUUKP juga memperuntukkan kuasa kepada SKP untuk mengawal selia pemberi kredit dan penyedia perkhidmatan kredit yang sebelum ini tidak dikawal selia.

Langkah itu sekali gus meningkatkan profesionalisme industri serta mewujudkan persekitaran kredit yang lebih selamat.

“Sebagai contoh, dalam mengesan salah laku berkaitan pengiklanan dan terma perjanjian pinjaman, SKP boleh menggunakan analisis aduan melalui sistem aduan SKP, tinjauan rahsia dan penuaian data web,” jelasnya.

Bagi tindakan penguatkuasaan, SKP boleh mengenakan teguran serta penalti monetari sehingga RM500,000 bagi setiap ketidakpatuhan, selain mengeluarkan arahan langkah pembetulan.

Suruhanjaya itu juga berkuasa menggantung atau membatalkan lesen pemberi kredit serta pendaftaran penyedia perkhidmatan kredit.

Dalam pada itu, Lim berkata, SKP turut diberi mandat mengeluarkan standard dan garis panduan berhubung perlindungan data pengguna kredit.

Selain, boleh mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi standard berkenaan.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN