(Foto fail)
MEKAH, 13 Jun- Persiapan kemudahan operası Masyair di Arafah, Mudzalifah dan Mina telah mencapai tahap 60% siap, menjelang kehadiran jemaah pada 8 Zulhijah nanti.
Antara kemudahan yang diberikan tumpuan bagi memastikan keselesaan jemaah adalah kawasan khemah.
Segala persiapan melibatkan operasi masyair di Arafah, Mudzalfah dan Mina sedang giat dijalankan, melibatkan kemudahan di kawasan penginapan termasuk elelktrik, air, penyaman udara dan bilik mandi bagi memastikan keselesaan jemaah.
Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman ketika melakukan tinjauan bersama petugas haji, menyuarakan rasa puas hati dan yakin segala persiapan dapat disempurnakan menjelang hari Wuquf di Arafah.
Ketika ini, proses baik pulih dan tambah baik kemudahan sedia ada giat dijalankan, melibatkan tapak khemah penginapan.
Beberapa penambahbaikan juga dijalankan termasuk menukar dinding khemah dan ruang memunggah beg jemaah.
Selain keselesaan, pihak Tabung Haji (TH) turut memberi tumpuan kepada perkhidmatan kesihatan semasa di Arafah dan Mina.
Ia bertepatan dengan jangkaan suhu yang meningkat sehingga 50 darjah Celsius pada hari Wuquf nanti.
"Kami sentiasa bersedia membantu jemaah haji untuk bantu dan menasihati jemaah pada setiap ketika untuk menjaga kesihatan mereka.
"Setiap maktab di khemah di Arafat dan Mina, ada khidmat klinik. Jemaah tak perlu bimbang mereka boleh terus ke klinik untuk dapatkan rawatan sewajarnya," kata Syed Saleh kepada media di sini.
Menurut beliau, semua kemudahan tersebut dijangka siap menjelang 8 Zulhijah, dengan bekalan elektrik dan air hanya akan disambung sebelum ketibaan jemaah haji pertama.
(Laporan disediakan Annaz Md Nor, Mekah)