KLANG, 13 Jun - Permintaan kerajaan negeri Kelantan untuk pembanguan fasiliti bagi meningkatkan pengeluaran air bersih hingga 2,000 Juta Liter Sehari (JLH) adalah melebihi keperluan semasa kira-kira 500 JLH.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, itu antara permintaan Kelantan semasa pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu bekalan air di negeri itu.
Susulan itu kerajaan negeri itu telah memohon peruntukan sebanyak RM8 bilion bagi memenuhi permintaan kapasiti yang berkali-kali ganda dari keperluan negeri yang sepatutnya.
"Itu yang diberikan antara beberapa perkara yang dimaklumkan oleh negeri Kelantan itu. Sebab itu kita hendak tengok balik, apa yang diperlukan. Pada masa sama, apa yang perlu seiring dengan pembinaan loji rawatan air adalah mengatasi masalah air bersih tidak terhasil (NRW).
“Sebab masalah NRW, jika kita bina loji rawatan air tetapi banyak yang bocor maka air tak akan sampai kepada pengguna," katanya kepada media ketika diminta mengulas mengenai permintaan Kelantan yang mahukan peruntukan sebanyak RM8 bilion bagi pembinaan lima loji rawatan dan penyimpanan air, kata Nik Nazmi selepas Majlis Taklimat Kerjasama Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) dan Menteri Besar (Diperbadankan) (MBI) bersama Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Jaringan Malaysia dan Brunei, di Magrove Point, di sini.
(Nik Nazmi Nik Ahmad (tengah) melawat perangkap sampah 'The Ocean Cleanup'
ketika mengadakan lawatan kerja melawat Sungai Klang)
Pada masa sama, Nik Nazmi, berkata pihaknya tetap komited untuk mencari solusi terbaik termasuk projek utama yang perlu dilaksanakan bagi menyelesaikan secara tuntas masalah air di Sabah dan Kelantan.
Kerajaan Persekutuan juga bersedia untuk membantu daripada sudut pematuhan undang-undang dalam usaha menyelesaikan isu bekalan air di Kelantan dan Sabah.
"Kedua-dua kerajaan negeri telah memaklumkan permintaan mereka dan apa yang diperlukan. Kerajaan Persekutuan pula ada kerangka perundangan yang perlu diikuti sama ada di peringkat persekutuan iaitu bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan di peringkat Sabah di bawah kerajaan negeri Sabah.
"Tetapi Perdana Menteri tekankan, kita ada tanggungjawab sebagai Kerajaan Pusat untuk membantu Sabah juga," katanya.